Upcoming Events

Monday, 26 September 2016

Aplikasi Berguna Untuk Guru - Tiny Scanner




Hai semua! Apa khabar?
Saya pasti ramai guru-guru yang ketika ini yang sedang berhabis-habisan menyediakan soalan untuk peperiksaan akhir tahun yang akan berlansung tak lama lagi. Hari ini saya ingin berkongsikan tips bagaimana untuk cikgu-cikgu scan bahan tanpa menggunakan scanner. Kadang-kadang saya sendiri malas nak mengusung buku-buku untuk dibawa balik ke rumah. Apa yang saya buat, saya scan sahaja mukasurat-mukasurat yang saya perlukan semasa di sekolah, dan bina soalan di rumah. Guna handphone je pun kan.. dua tiga minit dah boleh siap scan beberapa mukasurat dah! Hehe.. Tekniknya mudah sahaja, iaitu dengan memuat turun aplikasi 'Tiny Scanner' dari Google play store (Android phone) atau pun di App Store bagi pengguna Apple. Aplikasi ini merupakan aplikasi wajib untuk saya kerana ianya amat mudah digunakan serta tak perlukan modal untuk membeli sebuah scanner yang besar gedabak. Hanya gunakan handphone! Dokumen yang telah di scan menggunakan aplikasi ini juga boleh disimpan dalam bentuk gambar atau pdf. Selain itu, satu lagi kebaikkan aplikasi ini adalah ia membenarkan kita melakukan 'crop' sebelum data tersebut disimpan. Jadi, kita hanya akan dapat bahagian yang perlu sahaja. Tak perlu pun nak upgrade kepada Pro Version. Saya hanya menggunakan yang free version sahaja. Itu pun sudah berbaloi. Lihat kaedahnya di bawah:-




Bagaimana cara untuk transfer dokumen tersebut untuk masuk ke komputer kita? Ada 2 kaedah, yang pertama apabila sudah selesai scan, sambungkan wayar USB (pengecas telefon) anda ke komputer. kemudian 'explore' telefon anda di komputer untuk mendapatkan gambar/dokumen yang telah anda scan tadi. Cara kedua ialah dengan menghantar email kepada diri sendiri. Buka email tersebut dan download bahan yang dikehendaki. Tadaaa... Dokumen sudahpun masuk ke laptop anda! Mudah kan?! Okay, jom ambil mood buat kertas soalan. Hehe.. Selamat mencuba..

Saturday, 24 September 2016

Modul Bahasa Inggeris Question 21 - Social Expression

Pejam celik pejam celik, sedar-sedar dah nak habis dah bulan September. Beberapa bulan lagi sudah menginjak masuk ke tahun 2017 pula. Alhamdulillah, sempat saya siapkan modul untuk murid saya. Bukan apa, takut nanti saya terkejar-kejar yang mana nak mengejar silibus, dengan kerenah murid yang macam-macam, bebanan tugas-tugas yang diperuntukan.. Perghh.. tak boleh nak bayangkan. Modul yang saya bina ni adalah bertujuan untuk memastikan murid-murid saya dapat mencapai 6 markah penuh dalam soalan 21, kertas 1. Target full marks terus! Target mesti tinggi, dapat tak dapat belakang cerita kann! Hehe.. Soalan berbentuk social expression, memberi respon dalam perbualan, agak sukar bagi murid-murid yang tidak biasa bercakap menggunakan Bahasa Inggeris. Puas saya memikirkan cara bagaimana untuk melatih mereka menjawab soalan 21 itu. Yelah, murid-murid saya rata-rata dari keluarga yang sememangnya bercakap menggunakan Bahasa Melayu. Akhirnya, saya terfikir untuk membina modul khas untuk mereka. Ya, khas untuk anak didik saya!


Saya mula kumpulkan bahan-bahan. Saya fokuskan kepada satu bahagian sahaja iaitu Question 21. Terus terang saya katakan, mencari bahan bukanlah mudah. Menyelak sehelai demi sehelai mencari yang terbaik.. yang mudah.. yang sesuai.. memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Mengedit, crop, copy, paste, scan dan macam-macam lagi perlu dibuat semata-mata untuk compile kan soalan-soalan tu. 43 mukasurat, 243 soalan, perghhh.. Usaha memang dah ada, cuma nak 'ON' kan sahaja dalam kelas. Saya berdoa semoga murid-murid saya tak dapat banyak, dapat sedikit pun jadilah.. Bak kata orang putih, half a loaf is better than none. :)  Rasa macam nak buat modul lagi. Tapi.. mampukah saya? Huhu..

Nota kaki: Barulahku tahu betapa hazabnya membuat modul.. It's not easy! ;D

Monday, 19 September 2016

Kreativiti : Permainan Bahasa Spontan


Hai semua!

Permainan bahasa spontan yang dapat dimainkan tanpa memerlukan sebarang peralatan dan persediaan sememangnya dapat memudahkan guru-guru bahasa untuk 'menutup' atau 'memulakan' sesi pdp. Murid-murid walau selemah mana pun mereka pasti akan teruja dengan permainan yang akan saya nyatakan nanti. Jangan sesekali kita mengganggap murid LINUS atau murid kelas hujung tidak berminat bermain permainan seumpama ini. Saya telah beberapa kali mencuba dengan murid-murid sebegini dan ternyata mereka juga mampu bermain dengan baik. Disamping mengukuhkan kosa kata, mereka juga mampu meningkatkan daya saing antara rakan-rakan. Masing-masing mahu mencuba. Bagi saya, jawapan yang betul atau salah tidak penting. Yang penting adalah peranan kita sebagai guru untuk menarik minat murid-murid belajar sudah berjaya. Participation! Itu yang lebih penting. Saya kurang gemar murid-murid yang pasif sehinggakan kita bercakap dengan dia pun, macam bercakap dengan tunggul kayu. Permainan seumpama ini saya lihat dapat meningkatkan keyakinan murid-murid dengan syarat murid-murid tidak dikecam sekiranya mereka memberi jawapan yang salah. Gunakan kata-kata positif seperti "Good try", Cuba lagi.. dll. Main dalam keadaan yang menyeronokkan ya!

Word Snake (Ular Perkataan)
Permainan ini boleh dimainkan secara lisan mahupun bertulis. Jika dijalankan secara bertulis, saya cadangkan untuk anda gunakan papan putih di dalam kelas. Minta murid-murid berdiri. Guru memulakan dengan menulis atau menyebut satu perkataan dan eja dengan jelas. Kemudian, minta murid-murid menyambung dengan perkataan lain dengan menggunakan huruf terakhir dalam perkataan yang anda sebut/tulis.
Contohnya :- Ayam - masak - kenduri - ikan - negara - arnab - buaya - awan -
Untuk mewujudkan semangat bersaing dikalangan murid-murid, nyatakan secara jelas yang orang terakhir menjawab akan dikenakan denda. Denda menyanyi, denda yang menyeronokkan.. Ingat! Permainan ini adalah untuk meningkatkan minat murid, sekiranya anda mengenakan denda berat seperti mengemas kelas dsb, ini mungkin akan membuatkan murid tidak minat bermain. Pada masa yang sama, elakkan kawan-kawan mengejek. Beri galakkan dengan cara meminta dia cuba mencari perkataan yang sesuai, sebolehnya beri dia masa untuk menjawab. Denda adalah jalan yang terakhir.
Semasa bermain, minta murid yang sudah menjawab untuk duduk. Anda jangan risau dengan kejujuran mereka. Bila dah ramai-ramai, pasti ada yang menyelit duduk walaupun tak menjawab lagi. Anda jangan risau, kawan-kawannya ramai, pasti mereka akan laporkan kepada anda! :)
Katakan murid anda murid yang kategori 'advanced', anda boleh mengecilkan skop perkataan, mungkin boleh minta mereka senaraikan nama haiwan sahaja, perbuatan, tumbuhan dll.
Contoh:- lompat - tolong - gosok - kendong - (ini lebih mencabar, kan? :) )

Word Building (Bina Perkataan)
Permainan ini sesuai dimainkan secara bertulis. Sediakan beberapa batang marker pen untuk murid-murid menulis di papan putih. Tuliskan satu perkataan dan minta murid-murid bina perkataan lain dari perkataan yang diberi. Hanya semua huruf dalam perkataan yang diberi sahaja yang boleh digunakan. Tidak boleh ditambah dengan huruf lain. Boleh lihat contoh pada gambar yang saya masukkan ini.

Semua excited menunggu pen untuk menulis! :)

Hangman 
Sediakan tempat kosong untuk murid-murid mengisi huruf yang sesuai. Bahagikan murid-murid ke dalam kumpulan.  Kemudian, minta murid-murid meneka huruf mengikut kumpulan masing-masing. Jika salah, lukiskan gambar 'hangman'. Berikan markah yang sesuai untuk kumpulan yang berjaya meneka perkataan dengan tepat.

Sumber : Google Image
Kuiz
Kuiz spontan. Minta murid mengeja perkataan, meneka teka teki, menukarkan past tense words kepada present tense, memberikan imbuhan yang sesuai kepada perkataan dan lain-lain yang dianggap sesuai.

Mind Mapping (Peta Minda)
Letakkan satu tajuk di papan putih dan edarkan pen marker untuk murid-murid menulis (listing) perkataan yang berkaitan. Pasti mereka akan berlumba-lumba menyertai permainan ini.
Contohnya:- Minta mereka senaraikan nama buah-buahan tempatan, haiwan jinak, haiwan laut, haiwan liar, anggota badan, makanan, perkataan yang boleh menggunakan imbuhan 'ter' dll. Kalau murid lemah, mungkin boleh cadangkan mereka untuk melukis sahaja. Ini salah satu cara menggalakkan mereka participate dalam aktiviti yang dilakukan.

Sekian perkongsian dari saya hari ini. Semoga anda semua terus sukses mendidik anak bangsa.

Nota kaki: Didiklah mereka dengan hati, bukan dengan caci maki. Semoga anak-anak didik ini mendoakan kesejahteraan untuk kita di akhirat nanti. Ameen..

Tuesday, 13 September 2016

23 Tips & Tricks Untuk Mengendalikan Group Whatsapp Kelas Tanpa Stress

Assalamualaikum. Salam Aidil Adha untuk semua!

Beberapa hari yang lalu, saya terbaca post viral tentang seorang guru yang mengadu tidak senang dengan arahan pengetuanya yang meminta semua guru mewujudkan group whatsapp bagi kelas masing-masing. Sebenarnya, saya bukanlah hendak menyalahkan mana-mana pihak dalam hal ini, saya sendiri mempunyai group whatsapp bersama ibubapa murid kelas saya. Tulisan saya ini bukan bertujuan untuk membidas telahan yang dibuat tetapi sekadar untuk berkongsi tips & trick bagaimana mengendalikan group whatsapp kelas tanpa stress. Apa yang saya tulis adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Perlu diingatkan, mungkin kumpulan ibubapa kita berbeza. Saya amat bernasib baik kerana mempunyai a group of parents yang sangat supportive dan positif.

1. Nyatakan tujuan group dibina dengan jelas. Saya mula wujudkan group whatsapp ibubapa sejak Januari lalu. Secara jujurnya, memang agak rumit pada mulanya kerana kita perlu simpan semua nombor ibubapa untuk menambah mereka ke dalam group. Setelah selesai, saya sediakan ayat mukadimah untuk mereka. Saya nyatakan awal-awal tentang tujuan group dibina. Maklumkan bahawa tujuan utama group adalah utk kecemerlangan anak-anak. Kemudian, set kan rules and regulation. So far, ahli group saya mematuhi kehendakan group. Nyatakan sebab mengapa kita tak mahu group terlalu aktif berbual. Sebabnya kita tak mahu ada ibubapa ketinggalan maklumat penting. Kadang-kadang kita malas nak scroll up bila dah terlalu banyak sembang yang perlu dibaca. Saya pun macam tu juga, malas nak scroll up, dek kerana itu, kadang-kadang maklumat penting tidak tersampai. Alhamdulillah, semua parents setuju dengan sebab yang saya berikan. Semua behave! Thanks.. :)

2. Maklumat dapat disampaikan secara terus. Direct kepada ibubapa terutama bagi kelas darjah 1,2 dan 3. Murid-murid kurang peka dan selalu terlupa menyampaikan maklumat/surat. Whatsapp adalah platform terbaik.

3. Mengelakkan kekeliruan. Kadangkala lain yang kita cakap pada murid, lain yang mereka faham. Jadi, guru boleh menjelaskan sesuatu perkara itu secara jelas dan pantas dengan hanya menggunakan whatsapp.

4. Mengurangkan masalah disiplin. Senang nak report masalah murid dalam kelas. Sekiranya, saya dapati murid selalu tak bawa buku, saya akan direct PM pada ibubapanya dan tanya apa masalah murid tersebut sehingga dia tak dapat membawa buku ke sekolah. Report direct pada ibu bapa, depan murid, semasa pdp. It takes less than 3 minutes to do this. Murid lain pun akan sedikit gentar bila lihat cikgu mmg serius adukan hal mereka kepada ibubapa. Bukan apa, kadang-kadang ibubapa tak tahu tentang sikap anak mereka di sekolah. Mereka juga kadangkala terlepas pandang tentang buku/homework anak2… jadi ini cara terbaik. Tapi please jangan pulak komplen pasal anak murid dalam group! Kesian mak ayah, mereka pun ada perasaan. Jadi, PM adalah cara yang terbaik. Lebih personal dan tertutup.

5. Senang nak hantar bukti kepada ibubapa. Tangkap gambar, send, SETTLE!
Ini untuk kes murid tak siap kerja sekolah. Kadang-kadang ada peel murid yang suka koyakkan buku. Ambil gambar buku yang dikoyakkan/ kerja-kerja yang tak disiapkan, PM kepada ibu bapa mereka.paling penting, lakukan dihadapan murid tersebut. Kebaikkannya disini, saya dapat mengawal kemarahan saya. Disamping dapat mengawal ‘body contact’ dengan murid. Tidak dinafikan kadang-kadang kita berasa sangat marah dan seolah-olah dicabar oleh murid, ambil gambar dan send kepada ibubapa mereka, right in front of their face. Confirm, murid tu akan cuak! Nak nak kalau mak ayah memang jenis tegas. Memang Masakkk la dia!

6. Ibubapa tidak akan miss maklumat penting. Setiap kali ada surat makluman dari sekolah, saya akan awal-awal snap photo dan hantar ke group. Bila anak mereka balik rumah, mereka yang akan minta surat tu dari anak mereka. Jadi takde kes keciciran maklumat dsb. Ada juga yang akan bertanya itu ini tentang makluman yang disampaikan itu. Layan sekadar termampu. Jika rasa soalan yang keterlaluan, abaikan. Sebab kita pun manusia. Nanti tercakap lebih, kecik pulak hati parent.. so just ignore! Jangan cepat melatah! Sabar… Kalau rasa soalan tu tak dapat dijawab, saya akan minta mereka bertanya terus dengan pihak sekolah. Jangan lupa bagi sekali no telefon sekolah so that dorang boleh hubungi dan tanya terus kepada pentadbir.

7. Meningkatkan perasaan ambil berat terhadap kemajuan anak-anak. Kalau ada masa, saya akan update kerja sekolah yang diberikan so that parents boleh bantu anak-anak dirumah.. Spelling list juga saya letakkan dalam group supaya ibubapa ambil bahagian bersama-sama melatih anak-anak untuk menghafal spelling. Kadang-kadang saya tak perlu menjawab pertanyaan tentang kerja rumah, ada je ibubapa lain yang tolong jawab. Mereka dah macam saudara mara. Membantu antara satu dengan lain. Matlamat mereka sama, ingin mengekalkan kedudukan anak-anak dalam kelas pertama pada tahun-tahun akan datang.

8. Masalah dapat diselesaikan dengan cepat. Biasalah, bila disekolah guru-guru sentiasa sibuk. Macam-macam benda nak dibuat. Kadangkala orang macam saya cepat lupa. Faktor penuaan agaknya. Huhu. Dengan adanya group whatsapp, apa-apa masalah yang saya hadapi dalam kelas dapat saya selesaikan dengan cepat dan baik. Contohnya, masalah murid tak siap kerja sekolah dll dapat diselesaikan tak sampai 3 minit. PM ibubapa dan maklumkan apa yang berlaku. Done! Biar ibu bapa yang ‘ajar’ anak mereka sendiri, samada mereka nak nasihat, rotan, pukul atau apa saja cara untuk buatkan murid tersebut berubah. Of coz, Berubah kearah yang lebih baik. Kadang-kadang kita tak tahu masalah murid tu, mungkin dia sedang mengalami kemurungan, mungkin juga dia sedang menghadapi masalah keluarga dan sebagainya. Dengan cara ini, kita dapat kesan masalah murid tersebut. Disamping itu, kita dapat menyesuaikan kaedah untuk mengatasi masalah dia. Misalnya, murid tidak siap kerja sekolah kerana dia malas lain pendekatan yang boleh diambil dengan murid yang tak siap kerja sekolah kerana ibunya terlantar sakit di hospital. Bila kita PM ibubapa, ibubapa juga juga lebih alert tentang pembelajaran serta perkembangan anak-anak.

9. Masalah kedatangan murid dapat diatasi. Saya memang minta ibubapa untuk update tentang ketidakhadiran murid pada waktu pagi... Ada yang PM saya dan ada juga yang tulis di whatsapp group sahaja untuk memaklumkan tentang ketidakhadiran murid-murid.

10. Mengikuti perkembangan akademik dan kokurikulum murid dengan baik serta menjadi inspirasi kepada murid-murid lain. Tidak dinafikan bahawa ibubapa sangat menghargai serta bangga dengan kejayaan yang dimiliki oleh anak-anak. Sebenarnya ada ibubapa yang sanggup berhabis wang ringgit melatih anak-anak untuk cenderung dengan sesuatu perkara misalnya lukisan, permainan serta akademik. Ada beberapa orang ibu dalam kumpulan whatsapp saya yang sering berkongsi tentang kejayaan anak mereka. Ada yang berjaya merangul pelbagai hadiah dalam sukan bowling, ada yang berjaya dalam bidang akademik dan ada juga yang berjaya dalam bidang ko-akademik. Mereka berkongsi gambar yang mana menjadi motivasi kepada ibubapa yang lain. Saya juga tumpang berbangga kerana murid-murid ini berjaya atas inisiatif ibubapa, misalnya seorang murid saya, yang hebat dalam bowling, menang dalam beberapa tournament dan itu adalah 100% usaha dari ibu dan bapanya. Cerita-cerita kejayaan seperti ini dapat memberi inspirasi dan dorongan kepada ibubapa yang lain serta murid-murid.

11. Boleh ingatkan tentang perkara penting berkali-kali. Hal ini berkaitan dengan peperiksaan, saringan LINUS, yuran dsb yang dianggap penting. Saya akan mengingatkan ibubapa tentang tarikh peperiksaan suapaya mereka sentiasa alert. Sebagai parents, ada masanya kita terlupa tentang tarikh-tarikh penting untuk anak kita membuat ulangkaji dll. Jadi, bagi saya, reminder seperti ini, dapat membantu ibubapa yang sibuk diluar sana untuk lebih peka tentang akademik anak mereka. Percaya atau tidak, murid kelas saya selesai membayar yuran keperluan (dikutip pada awal tahun) pada bulan Februari manakala sumbangan PIBG juga selesai dikutip pada penghujung bulan Julai (mula diarahkan untuk kutip adalah pada bulan April). Thumbs up! Sebagai guru kelas, ini merupakan suatu kejayaan yang besar buat saya. Perkara mengutip yuran/sumbangan PIBG adalah perkara yang paling rumit dan menyukarkan guru-guru seperti saya. Applause! :D

12. Psikologi yang digunakan kearah kebaikan. Bukan setakat itu, bila ada whatsapp group, setiap sumbangan yang diterima akan saya update dalam group. Ini psikologi yang saya gunakan untuk menarik ibubapa lain turut serta menyumbang. Sumbang duit, buku.. makanan dan macam-macam lagi. Ada masanya, saya masukkan jumlah sumbangan yang diterima. Ibubapa rasa gembira. Bukan menunjuk, bukan nak galakkan mereka bermegah, tapi menggalakkan yang lain juga untuk turut menyumbang. Jangan terkejut jika saya katakan, kelas saya selalu menjadi kelas yang paling banyak mengutip sumbangan. Rezeki saya tahun ini. Kadang-kadang PROMOSI itu penting. Biasa la, manusia kan.. pasti akan tertarik dengan PROMOSI. Bila kita promote, parents pun jelas dan faham… pada masa yang sama minat mereka untuk menyumbang, meningkat! Mungkin parents pun ada rasa segan bila cikgu direct mohon sumbangan dari mereka. Sumbangan yang memberi kebaikan kepada sekolah dan anak-anak mereka. Tak sangka sumbangan yang saya terima semasa jamuan hari raya, untungnya murid-murid saya puas makan..saya dapat order nasi tomato sekotak seorang.. dapat lagi macam-macam sumbangan makanan dari parents. Serious, kenyang.. murid siap ‘tapau’ bawak balik lagi.. Murah rezeki mereka! Buku untuk reading corner tak payah cerita, memang berlambak parents bagi.. ada je murid yang sedekah buku. Pahala sedekah berpanjangan.. Syukur!

13. Kerja sekolah dapat dilengkapkan dengan baik sekali. Ada masanya, saya memberi latihan di papan putih dan murid saya tidak sempat menyalinnya. Mudah! Saya hanya snap gambar dan hantar ke group whatsapp kelas saya. Murid tidak ada alasan tak siapkan kerja saya! Nampak tak permainan saya??? Hahahahaaa…
Walaubagaimana pun, ini adalah bergantung kepada jumlah latihan yang saya beri. Jika latihannya sedikit, saya akan maklumkan awal-awal kepada murid saya yang saya tak akan masukkan latihan tersebut ke dalam group whatsapp. Saya akan tegaskan yang saya mahukan buku mereka sebelum waktu saya berakhir. Kadang-kadang tak boleh beri muka sangat kepada murid, bukan apa, takut mereka ‘naik lemak’, jadi mereka sentiasa bergantung kepada gambar papan putih yang dihantar menerusi whatsapp pula! Kennot! Kennot! Saya nak murid saya berdisiplin. Jika perlu siapkan latihan pada hari yang sama, mereka perlu siapkannya! Fullstop! Heee.. Nampak tak tegasnya saya? :)

14. Perkara ‘urgent’ dapat disampaikan dengan cepat dan tepat. Contoh perkara urgent yang perlukan perhatian ibubapa ialah tentang perubahan jadual waktu/pemantauan dan pencerapan oleh pihak tertentu. Saya pernah dicerap oleh SISC+ dari PPD Kinta Utara, dalam keadaan nervous, sempat juga saya masukkan dalam whatsapp kelas saya untuk minta kerjasama ibubapa untuk nasihatkan anak mereka supaya ‘behave’. Hahahaaa… and…it works! Memang murid saya behave tapi bila parents pun take part tolong nasihatkan mereka, mereka jadi sangat-sangat behave! Awesome!

15. Apa nak buat kalau ada parents yang annoying? Hantar mesej yang tak perlu. Contohnya post tentang ayat-ayat lawak dsb. Kaedahnya senang, tak perlu dilayan. IGNORE! Bila kita sebagai admin melayan post-post sebegitu, ini akan membuka ruang untuk orang lain terus menghantar mesej yang tidak penting seperti itu. Selain itu, mereka juga akan menganggap yang admin boleh menerima post sebegitu. So far, saya memang tak respon kepada mesej sebegitu. Sama juga dengan parents lain.. Mereka tengok kita diam, mereka pun diam.. Alhamdulillah. Setakat ini post sebegini jarang-jarang masuk ke group saya. Kalau terlalu kerap, mungkin admin boleh tegur secara berhemah. Maklumkan kepada ‘penghantar mesej’ tu yang kita tak mahu ada parents yang ketinggalan maklumat. Bila terlalu banyak benda penting masuk ke whatsapp group, ahli akan mula berasa bosan dan berkemungkinan akan jarang buka untuk baca mesej. Ini boleh membawa kepada masalah keciciran maklumat. Isu parents mesej dalam group whatsapp kelas jam 3 pagi adalah perkara kecil bagi saya. Group whatsapp kan boleh set kepada ‘mute’, diamkan saja jadi kita takkan terima sebarang bunyi notifikasi. Kalau nak kata group whatsapp ibubapa yang bermesej sehingga jam 3 pagi,  saya rasa tidak adil kerana kadang-kadang group kita dengan kawan-kawan pun ada je yang mesej dan bersembang sampai ke subuh. Pandai-pandailah.. Samada kita nak layan mesej tersebut atau tidak. Itu pilihan kita. Kalau tengah syok buat tahi mata, tiba-tiba parents mesej pukul 3 pagi, minta maaflah.. memang saya tak akan respon. I have the right to not to respond. Be firm!

16. Mengeratkan hubungan antara murid, ibubapa dan guru. Sebagai ibubapa, ada masanya mereka sibuk dan terlepas pandang tentang hal anak-anak dan sebagai guru, kita juga bukanlah perfect, ada juga sesekali ibubapa complain itu dan ini, apa pun nasihat saya, be wise, jangan mudah melenting, jangan cepat melatah. Periksa dulu, kalau tak tahu, siasat.. Dah dapat jawapan, barulah dimaklumkan kepada parents berkenaan. Kalau tak dapat diselesaikan, rujuk kepada Guru Besar atau Penolong Kanan. Kalau rasa aduan tu tak berasas, IGNORE je. Be professional, jangan sampai bergaduh dalam group. Sesekali jangan lupa berikan ucapan untuk perayaan yang disambut.

17. Andaikata saya cuti atau MC, saya tak akan balas mesej dalam group whatsapp kecuali yang sangat penting. Benda yang kurang serius dan saya anggap boleh ‘hold’ dan ‘KIV’, saya akan jawab pada hari berikutnya. Kalau nampak situasi tegang, respon dan minta masa. Maklumkan kepada mereka yang kita sedang cuti sakit. InsyaAllah, parents pun manusia, mereka akan faham. Cikgu jangan stress ya! :)

18. Maklumkan tentang murid sakit dengan pantas. Jangan ambil remeh walaupun hanya sakit perut. Zaman sekarang ni macam-macam berlaku, takut nanti tak pasal-pasal naik court. Mintak simpang! Sekiranya murid saya jatuh sakit di sekolah, selain menelefon ibubapa, saya juga akan whatsapp kepada ibubapa untuk datang ambil anak mereka dengan segera.  Sekurang-kurangnya jika ibubapa mereka tidak respon, bukanlah salah kita lagi, sebab kita dah pun berusaha untuk memaklumkan kepada mereka tentang situasi anak mereka. Nampak tak? :D

19. Melalui group whatsapp juga saya mengembangkan network saya. Dikalangan ibubapa, ada yang menjual kuih, ada yang bekerja di bank, ada yang jadi nurse, ada juga yang berniaga. Macam-macam! Sumbangan zakat untuk surau sekolah saya adalah antara benefit yang sekolah saya peroleh setakat ini, seorang parent dalam group saya merupakan pengurus bank. Sedar tak sedar, banyak kebaikan yang sekolah  terima apabila kita membina berhubung baik dengan mereka. Bukan nak kata buat baik dengan ‘orang besar’ sahaja, kita juga boleh minta tolong dari ibu yang menjual kuih untuk sediakan kuih semasa class party dsb.. Disamping membantu mereka menjana pendapatan, kita pun senang berurusan dengan orang yang kita dah kenal. Macam-macam kebaikan yang kita terima yang penting, jangan ada bias, jangan pilih bulu.. layanan sama rata akan membuatkan semua ahli group rasa senang.

20. Murid-murid yang tidak hadir ke sekolah mendapat kemudahan apabila ramai dalam group yang akan bantu beri maklumat tentang kerja rumah. Ada yang akan post kan gambar kerja rumah tersebut, ada yang akan bantu carikan jawapan, ada yang mengingatkan tentang bahan yang perlu dibawa untuk sesuatu projek.. Mudahkan?!



21. Dokumentasi. Segala mesej yang dihantar adalah merupakan dokumentasi. Oleh itu, mesejlah yang baik-baik. Sebab tu saya kata, kalau tak mampu kawal emosi, jangan jawab. Baca dan ignore. Jawab yang penting sahaja. Masukkan gambar-gambar aktiviti anak murid dalam group. Contohnya, gambar semasa mereka masuk persembahan.. gambar projek mereka.. gambar majlis-majlis di sekolah. Murid-murid akan sangat gembira. Selain itu, ibubapa juga nampak progress anak-anak mereka. Reputasi guru-guru dapat dipertingkatkan bila ibubapa nampak hasil kerja murid. Ada ibubapa yang sangat teruja dan simpan semua gambar yang saya post. Kenangan katanya.. Hehe.. 

22. Jangan wajibkan kepada semua ibubapa. Mula-mula saya add mereka ke dalam group, kemudian jika mereka ‘left group’, saya tak akan tanya kenapa. Buat apa nak pening kepala. Nak left atau tidak itu hak mereka. Terpulang. Jangan paksa dan jangan sentap. Buat tak tahu jer. Ada parent yang left group dan akhirnya berjumpa dengan saya, minta dimasukkan semula. Kerana apa? Kerana dia terasa ketinggalan maklumat. Selalu keciciran maklumat dan anaknya juga tak dapat maklumat kerja rumah dll.

23. Yang terakhir, saya rasa mudah untuk memberi kerja rumah. Kadangkala bila terlupa nak bagi kerja rumah, apa yang boleh dibuat adalah dengan memberikan kerja rumah menerusi aplikasi whatsapp. Paling tidak pun, boleh berikan link yang berguna kepada mereka supaya anak-anak boleh akses ke link tersebut. Contohnya, kuiz online, lagu sifir dll. kalau misal kata nak buat projek, namakan sahaja apa yang diperlukan, gambar ke keratan ahkbar ke kertas warna ke.. Kerja kita jadi mudah bila ibubapa pun ambil bahagian dalam mendidik anak-anak!

Pada pendapat saya, untuk mewujudkan group whatsapp group ibu bapa adalah bergantung kepada niat, kehendak serta kemampuan guru itu sendiri. It’s either you take it positively or negatively. Di sekolah saya juga, tidak banyak kelas yang mempunyai group whatsapp, dan pada saya benda macam ni sepatutnya tidak dijadikan suatu perkara yang wajib. Biarlah cikgu tu nak mentadbir kelas dia macam mana sekali pun. Tak guna jika guru kelas tubuhkan group tapi dia sendiri tidak aktif memberi maklumat. Hanya sekadar ada group kerana mahu menurut perintah dari orang atas, tapi group sunyi sepi tanpa info tanpa apa-apa. Mungkin sebagai jalan penyelesaian yang terbaik, wujudkan saja Channel di aplikasi telegram. Dengan menggunakan channel, hanya admin sahaja yang dibenarkan menulis. Yang lain sebagai penerima maklumat sahaja. Perbualan sehala. Saya kurang minat sebab saya menganggap respon dari audien sangat penting. 

Nota kaki : My two cents.. :)

Saturday, 3 September 2016

PDP : Projek Sains Akuarium Kombo Terrarium


Assalamualaikum sabahat...

Semalam, sewaktu melangkah masuk ke kelas, saya dapati beberapa botol minuman terpakai tersusun rapi di atas meja guru. Semakin dekat kaki melangkah ke arah meja, semakin jelas saya nampak botol tersebut dihias cantik dan bewarna warni.

Guru praktikum, Cikgu Fara, yang mengambil alih subjek Sains di kelas saya bersama murid-murid menghasilkan projek sains yang mana saya rasa sangat menarik dan bermakna. It's just superb! I like! Murid-murid saya pun sangat teruja dengan idea ini. Selain belajar secara kreatif dan 'lively', murid-murid juga dapat memupuk rasa tanggungjawab kerana masing-masing sibuk menjaga ikan peliharaan mereka; memberi makanan, menukar air akuarium dan sebagainya. Selain itu, aktiviti ini juga secara tidak langsung dapat memupuk nilai kasih sayang terhadap haiwan. Oleh kerana itu, saya merasakan projek yang Cikgu Fara dengan murid-murid saya lakukan ini elok dikongsikan supaya lebih ramai lagi guru matapelajaran Sains mendapat idea bagaimana untuk menjadikan sesi pdp kearah yang lebih menyeronokkan dan berkesan. Beberapa orang murid saya telah pun menerangkan satu per satu cara untuk membuat projek tersebut kepada saya. Yang nak mencuba, boleh try ya..

Bahan-bahannya:-
Botol minuman 1.5l dipotong dua
Untuk bahagian bawah (botol dibuat beberapa lubang untuk pengudaraan)
-Ikan kecil
-Makanan ikan (dah ada ikan mestilah ada makanannya kan... :) )
-Air secukupnya
-Batu hiasan
-tumbuhan yang sesuai
Untuk bahagian atas (Penutup botol dilubangkan untuk memasukkan tali supaya tali boleh terendam di dalam air)
-Sedikit tanah
-Tali berasaskan kain (untuk menyerap air)
-Pokok renek hiasan yang sesuai

*Sila rujuk gambar.




Oh ya, setelah meng 'google', saya dapati projek ini dinamakan aquarium combo terrarium. Melihat anak ikan berenang-renang, rasa relaks dan tenang saja.. Memelihara ikan merupakan salah satu terapi untuk memenangkan fikiran.. Teringat dulu saya rajin ke spa ikan semasa di KL untuk mengurut tapak kaki katanya, sambil-sambil tu ikan-ikan tersebut akan makan kulit-kulit mati yang terdapat pada kaki kita. Ohhh... tenangnya! :D

Nota kaki : Terima kasih cikgu Fara kerana sabar melayan kerenah anak murid 3 Delima/2016. Semoga Cikgu terus sukses dan kreatif dalam melaksanakan pdp pada masa akan datang. Keep up the good work! You're awesome! :) Jom apply benda ni dalam subjek lain! :D



Thursday, 1 September 2016

PDP : Tutorial Membina Kuiz Interaktif Online Dalam Masa 15 Minit


Pejam celik pejam celik, dah masuk bulan September dah.. Huhu.. Alhamdulillah, semangatku masih utuh untuk membuat perkongsian ilmu seumpama ini. Chaiyokkk! Anyway, terima kasih kawan-kawan, kerana sudi menyinggah di blog saya ni. Kalau anda merasakan tulisan saya baik dan bermanfaat, jangan lupa kongsikan dengan rakan-rakan yang lain ya! :)

Kali ini saya nak berkongsi dengan kalian tentang aplikasi online Quizizz. Aplikasi ini sangat mudah digunakan malah ianya juga mesra telefon pintar. Jadi, murid-murid atau para pelajar boleh menjawab kuiz interaktif ini dengan hanya menggunakan smart phone mereka. Paling menarik, quiz ini juga boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja dengan syarat mereka mempunyai 'kod rahsia'. Bagaimana untuk mendapatkan kod rahsia? Dengan membina soalan kuiz, anda akan diberikan kod rahsia untuk dikongsikan bersama murid-murid mahupun orang awam yang lain.

Berikut adalah tutorial bagaimana anda boleh membina quiz dengan mudah dan cepat.


Pertama sekali, pergi ke laman www.quizizz.com/login 
Kemudian, klik pada Sign Up, daftarkan diri terlebih dahulu. 


Seterusnya, klik pada Create your Own Quiz


Kemudian, masukkan gambar ikon quiz yang anda kehendaki, namakan kuiz anda serta setkan subjek. Setkan kepada public supaya lebih ramai orang boleh cuba menjawab soalan kuiz yang ada sediakan. 


Okay, katakan anda tak punya masa untuk menaip soalan, anda boleh cuba kaedah ini. Cari jenis kuiz yang dikehendaki contohnya Grammar - Pronouns, taipkan kata kunci tersebut di ruangan yang disediakan dan klik butang go! Sekarang anda bolehlah memilih soalan-soalan yang sesuai dengan tajuk yang hendak diuji. 


Selain menceduk soalan, anda juga boleh mengubahsuai soalan mengikut citarasa anda. Contohnya dengan meletakkan gambar, atau mengubah senarai jawapan yang diberikan.


Setelah selesai menyediakan soalan, anda perlu mengisi maklumat seperti yang tertera pada gambar. Masukkan 'grade range', kemudian subjek dan topik. Akhir sekali, klik butang Finish and Create Quiz. 


Anda boleh kongsikan quiz yang telah dibina di media sosial facebook, twitter dsb. Sekiranya anda memilih untuk menjadikannya kerja rumah, anda boleh tetapkan bila waktu kerja rumah itu sepatutnya berakhir. Katakan anda set untuk 12 jam, jadi selepas 12 jam murid-murid anda tidak boleh (block) menggunakan kod yang anda berikan itu untuk menjawab kuiz. 


Berikan link join.quizizz.com kepada murid-murid beserta 'kod rahsia' untuk mereka mulakan menjawab soalan yang anda sediakan.


Beginilah rupa paparan www.quizizz.com/join yang murid-murid anda akan lihat nanti. 


Laporan juga disediakan... Senang kan?! Hehe.. :D

Nota kaki: Quizizz ni sangat sesuai untuk dijadikan kerja rumah. Murid dapat belajar tanpa tekanan, seronok-seronok sambil menimba ilmu. Jom bina quiz untuk beri pada murid semasa cuti nanti! Lalalalaaa... :))
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...